Namun kegagalan segelintir peniaga mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan sekali gus memberi gambaran negatif kepada tujuan utama penganjuran bazar ber­kenaan.

Ini termasuk menarik minat pelancong luar untuk merasai dan melihat sendiri keunikan budaya negara terutama melalui kepelbagaian makanan.

Selain menjual tapak kepada pihak ketiga, kegagalan mematuhi aspek kebersihan, mempamerkan lesen serta meletakkan tanda harga antara kesalahan yang kerap dilakukan peniaga.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Setiawangsa, di sini mendapati hampir 55 peratus peniaga gagal mempamerkan le­sen perniagan serta mengabaikan aspek kebersihan apabila peniaga termasuk pembantu tidak memakai apron.

Peniaga juga didapati mengabaikan aspek kebersihan persekitaran apabila longgokan sampah memenuhi ruang belakang tapak niaga.

Memburukkan lagi keadaan apabila laluan keluar masuk ke bazar berkenaan juga didapati tidak sempurna, dipenuhi debu sekali gus menimbulkan persoalan apakah juadah yang dijual benar-benar selamat untuk dimakan.

Berdasarkan pemerhatian, tindakan berani segelintir peniaga mungkin disebabkan kelemahan penguatkuasan pihak PBT sendiri.

Ini kerana sepanjang tinjauan tiada kelibat anggota penguat kuasa kelihatan di tapak bazar ber­kenaan. Apa yang didapati hanya anggota Rela yang ditugaskan mengawal lalu lintas kawasan itu.

Berbeza situasi di tapak bazar Ramadan Taman Puchong Prima, Puchong, Selangor dilihat lebih bersistematik, teratur dan mesra pengunjung. Selain lokasi strategik, kepelbagaian juadah yang dijual serta keseragaman khemah yang dipasang menambah kemeriahan bazar.

Rata-rata peniaga juga didapati mematuhi peraturan ditetapkan terutama dalam aspek kebersihan.

Sehubungan itu, pihak PBT diminta lebih tegas terhadap peniaga bazar yang ingkar terhadap peraturan ditetapkan termasuk menarik balik lesen.