ZAINI RAMLI
ZAINI RAMLI 

Pengerusi Persatuan Penduduk Ukay Perdana (DePURA), Zaini Ramli berkata, penghuni dalam kebimbangan ekoran projek yang bakal membangunkan 500 unit rumah itu didakwa boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku sehingga membahayakan keselamatan penduduk.

Beliau mendakwa, kelulusan untuk menjalankan projek itu juga adalah mencurigakan memandangkan surat kelulusan yang ditunjuk pemaju kepadanya adalah pada tahun 2005 dan 2012.

“Kalau mengikut daripada pemaju, dia dapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan kita adakan dialog dengan MPAJ, dia kata kelulusan dah diberi, itu sahaja. Kelulusan diberi itu adalah lama daripada tahun 2005 dan 2012, saya rasa itu bukan yang terkini.

“Kawasan Ampang Jaya merupakan kawasan tadahan air, memang kita dapat garis panduan awal untuk segala pembinaan bukit tinggi mahupun di cerun perlu mendapat kelulusan. Jika ada (kelulusan), perlu dapat kelulusan spesifik daripada kerajaan.

“Saya rasa kalau dapat kelulusan spesifik, mana-mana tempat itu adalah tempat yang mengundang bahaya. Jadi kalau lihat keadaan cerun yang curam, saya rasa kenapa harus kita bina bangunan yang boleh berisiko kepada penduduk?,” katanya kepada pemberita pada perhimpunan solidariti batahan penduduk terhadap projek pembinaan perumahan berkenaan di Ukay Perdana, dekat sini hari ini.

KAWASAN cerun bukit
KAWASAN cerun bukit yang dibangunkan pemaju untuk pembinaan perumahan teres dua tingkat di Ukay Perdana, dekat sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tambah beliau, projek pembinaan itu telah dimulakan sejak tiga tahun lalu, namun terhenti seketika selama dua tahun dan kembali dijalankan semula sejak enam bulan lepas.

Jelasnya, sepanjang projek itu dijalankan, banyak masalah berlaku kepada penduduk seperti kejadian paip pecah, bekalan elektrik terputus dan atap terbang akibat penebangan pokok.

“Kemasukan pemaju ke kawasan ini amat memeranjatkan dengan notis singkat dan ringkasan yang diberi MPAJ singkat, buatkan kita bertambah tidak puas hati dengan cara jawapan yang diberi mereka.

“Kita dah hantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk jemput hadir, lihat sendiri bagaimana keadaan cerun di sini supaya kajian semula dapat dijalankan. Kami beri tempoh selama 14 hingga 21 hari, kalau tidak, perkara ini akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya. - UTUSAN ONLINE