Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penglibatan mereka dalam pelbagai sektor pekerjaan secara haram mahupun salah guna pas lawatan merupakan antara punca lambakan di sekitar pusat perniagaan hingga membentuk koloni baharu di satu-satu kawasan.

Video oleh AMIRUL AIMAN ANUAR

“Kita juga akan menggempur aktiviti pelacuran membabtikan warga asing kerana budaya tidak bermoral dari negara asal mereka ini menjejaskan imej Malaysia. Gerakan untuk menghancur dan memutuskan rangkaian sindiket ini akan dipergiat dengan segera.

"Operasi seperti hari ini akan dijalankan secara berterusan setiap hari khususnya di lokasi tarikan pelancong, lebih-lebih lagi menjelang temasya Sukan SEA ke-29 nanti,” tegasnya dalam operasi penguatkuasaan warga asing sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin di sini semalam.

Operasi di kawasan yang mendapat jolokan Mini Dhaka itu menyaksikan penahanan 210 PATI daripada 765 warga asing dan turut disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz sendiri.

DBKL turut mengeluarkan 48 notis kompaun dan menyita premis yang didapati melanggar syarat lesen, malah Mhd. Amin menegaskan pihaknya akan mengkaji semula lesen sementara memandangkan sikap sebahagian peniaga tempatan yang meng'alibaba'kan perniagaan.

"Kita belum tetapkan tempoh lesen yang baharu dan setiap aspek berkaitan permohonan akan dikaji semula," katanya ketika ditemui. - UTUSAN ONLINE