Sedangkan dalam keputusan pihak berkuasa sebelum ini, larangan berniaga di kawasan itu hanya melibatkan para peniaga bazar Ramadan dan bazar musim perayaan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman, Roslan Abd. Ghani berkata, beliau yang mewakili peniaga pasar malam di Lorong TAR terkejut apabila menerima arahan pemindahan dari tapak berkenaan bermula 1 April ini.

“Bagaimana arahan seperti ini boleh dikeluarkan saat-saat akhir sedangkan tiada sebarang perbincangan atau notis mahupun kenyataan rasmi dikeluarkan.

“Apa akan jadi pada peniaga yang bergantung punca rezeki di 550 lot penjaja yang sebahagiannya sudah berniaga sejak 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan bantahan bersama kira-kira 50 peniaga tapak Pasar Malam Lorong TAR di sini hari ini.

Menurut Roslan, arahan pemindahan dikeluarkan dalam satu kenyataan oleh Khalid pada 12 Mac lalu yang memutuskan supaya kawasan tersebut perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemunggahan dan penghantaran bekalan.

Pengosongan lorong itu didakwa berikutan penutupan Jalan TAR pada Sabtu dan Ahad yang akan dilaksanakan mengikut tempoh percubaan bermula 1 April ini.

Menurut Roslan, pihaknya akan menyerahkan satu memorandum bantahan kepada Khalid pada Isnin ini bagi menyatakan hasrat peniaga supaya tapak menjaja pada setiap Sabtu itu dikekalkan dan tidak dipindahkan.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur, Azkhalim Suradi. - UTUSAN ONLINE