Pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya kelima itu menggantikan Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Mac lalu.

Mohd. Sayuthi, 49, yang berpengalaman selama 25 tahun dalam pelbagai agensi kerajaan akan menjawat jawatan tertinggi pihak berkuasa tempatan itu untuk tempoh selama dua tahun secara pinjaman.

Mohd. Sayuthi berkata, beliau akan meneruskan agenda membangunkan Petaling Jaya sebagai bandar pintar selain melihat ruang-ruang penambahbaikan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik terutama kepada golongan pembayar cukai.

“Saya yakin akan dapat bekerja dengan barisan ahli majlis dan pegawai-pegawai MBPJ yang sedia ada. Saya juga berjanji untuk memberikan perkhidmatan terbaik dalam segenap aspek selain memfokuskan permasalahan dan aduan masyarakat di Petaling Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perakuan Penerimaan Jawatan Datuk Bandar di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE