Program yang dirancang dilaksanakan pada November dan Disember tahun depan sempena musim cuti sekolah itu menampilkan kelainan apabila pengunjung berpeluang menikmati pengalaman berada di dalam muzium pada waktu malam.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, program itu ditawarkan dalam bentuk pakej bayaran dengan pengunjung berpeluang menjejakkan kaki mereka di tiga lokasi iaitu Muzium Negara, Muzium Tekstil Negara dan Muzium Diraja.

“Idea penganjuran program itu tercetus susulan kejayaan program Bermalam di Muzium yang dipelopori Muzium Negara pada 2005.

“Maklum balas yang diterima sangat positif dan JMM menerima banyak saranan agar aktiviti seumpama itu dapat diperluaskan,” katanya ketika berucap melancarkan program berkenaan di Muzium Tekstil Negara, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, dalam aktiviti tersebut, pengunjung bakal melihat pelbagai jenis barangan bersejarah yang dipamerkan di ketiga-tiga muzium dalam suasana pencahayaan lampu unik dan menarik, sekali gus memberikan pengalaman baharu kepada mereka.

“Selain itu, lebih menggembirakan apabila mereka dapat mengikuti pelbagai persembahan seni warisan, demonstrasi penyediaan makanan tradisional selain jamuan makan yang turut ditampilkan bersama dalam pakej tersebut.

“Pengunjung akan bergerak dari satu lokasi muzium ke lokasi muzium seterusnya dengan menaiki bas yang disediakan oleh pihak JMM,” katanya.

Jelasnya lagi, program bermula pukul 8 malam hingga 11 malam itu diharap membolehkan generasi muda untuk terus mengenali dan menghayati sejarah dan budaya yang diwarisi sejak zaman berzaman. - UTUSAN ONLINE