Saban tahun, orang ramai yang menggunakan laluan itu terpaksa berdepan dengan kea­daan jalan berlekuk, berlubang, berpasir dan berdebu.

Bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan tidak ada jalan seteruk Jalan Chan Sow Lin meskipun terletak dalam lingkungan jarak kurang 10 kilometer dari pusat banda raya Kuala Lumpur.

Aduan demi aduan yang di­aju kepada pihak berkuasa tempatan bagaikan mencurah air ke daun keladi kerana punca sebenar kepada permasalahan yang tidak diatasi dengan baik.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa jalan sekitar kawasan industri lama itu mendapati salah satu daripada punca masalah itu adalah operasi jentera-jentera pengangkut kon­krit yang ‘berpusat’ di kawasan itu.

Bukan sahaja merosakkan permukaan jalan, tumpahan simen yang kerap berlaku juga menjadikan permukaan jalan tidak rata dan sentiasa berpasir.

Justeru, pengguna laluan berkenaan mahu pihak berkuasa bertindak lebih tegas terhadap syarikat-syarikat yang bertanggungjawab kepada masalah ke­rosakan jalan di sini.