Ketua Pegawai Operasi SMaju Agro Venture, Suhaidy Shuib berkata, terdapat lima menu berasaskan udang kara ditawarkan kepada pengunjung bersempena program pelancaran Projek Enterprenuer Ternakan Udang Kara (Petukar) yang akan diadakan pada 3 Mac ini di tapak syarikat berkenaan di Hulu Langat, Selangor.

“Antara menu yang ditawarkan adakan mee udang kara, udang kara panggang, nasi lemak udang kara, udang kara perap dan udang kara buttermilk. Kelima-lima jenis makanan ini akan disertakan bersama seekor udang kara bagi setiap satu hidangan.

“Selain itu, sempena program ini, kami turut mempamerkan udang kara air tawar terbesar yang panjangnya hampir sembilan inchi. Ini kerana saiz udang kara air tawar dan air masin sedikit berbeza,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

udang kara menu
 

Petukar merupakan program usahasama Pertubuhan Peladang Kawasan Hulu Langat bersama SMaju Agro Venture bagi membantu merancakkan lagi industri penternakan udang kara di negara ini.

Selain daripada pelancaran Petukar, beberapa aktiviti lain turut diadakan seperti jualan, pameran produk, khidmat nasihat dan jualan makanan berasaskan udang kara sekali gus memberik pendedahan kepada pengunjung mengenai industri penternakan udang kara.

udang kara menu
 

Mengulas lanjut, Suhaidy berkata, fasa pertama program tersebut adalah memberikan kursus kepada peserta dalam mengenali penternakan udang kara dan melahirkan kumpulan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam menghasilan makanan pemprosesan berasaskan udang kara.

“Sambutan yang diterima menggalakkan apabila seramai 65 orang peserta mendaftarkan diri bagi menyertai program ini. Ini melebihi jangkaan sekitar 50 orang peserta. Bagi fasa pertama ini, kami memohon dana di bawah Unit Agropreneur Muda (UAM),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE