Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ini memandangkan kemajuan pembinaan kediaman tersebut yang mencapai kemajuan sehingga 85 peratus setakat hari ini.

Menurutnya, bagaimanapun jum­lah lebihan sasaran itu masih di peringkat perundingan bersama agensi dan pemaju untuk melihat dan meneliti lokasi yang sesuai untuk dilakukan projek berkenaan.

“Sebelum ini kita sasarkan sebanyak 80,000 unit Rumawip akan dibina sebagai inisiatif ke­ra­jaan untuk membantu dan men­sejahterakan rakyat dalam menyediakan rumah kos rendah di ibu negara.

“Melihat kepada kemajuan itu, kita yakin dan percaya, jumlah itu akan melebihi sasaran awal dan kita akan komited melaksanakannya untuk memenuhi permintaan banyak pihak,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan majlis pelancaran dan sesi pe­ngundian Residensi Desa Satumas dan Kempen ‘Raise The Flag’, di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala; Ketua Setia­usaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan; Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn. Bhd., Tan Sri Chai Kin Kong; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff dan Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, pembinaan Rumawip Residensi Desa Satumas itu telah menetapkan kuota sebanyak 60 peratus kepada bumiputera ma­nakala 40 peratus lagi terbuka kepada semua warganegara.

“Daripada jumlah itu, peruntukan unit yang diberikan kepada bumiputera adalah sebanyak 1,801 unit manakala 1,201 unit adalah terbuka.

“Ini bertujuan mengimbangi komposisi penduduk di kawasan parlimen Seputeh dan secara tidak langsung dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat di masa hadapan,” ujarnya lagi.