Lebih memburukkan keadaan, lori pengangkut yang bertali arus tanpa mengira waktu di kawasan itu seperti langsung tidak menghiraukan keselamatan orang ramai.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terbabit mendapati cermin kenderaan dan tingkap rumah penduduk dipenuhi debu sehingga memaksa mereka mencuci rumah hampir setiap hari.

Selain itu, pencemaran udara yang berlaku juga dikhuatiri menyebabkan masalah kesihatan seperti demam, asma, alahan dan batuk kepada kanak-kanak dan golongan warga emas.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Markiman Kobiran berkata, penduduk di kawasan itu sudah lama bersabar dan semakin tertekan akibat masalah itu .

“Operasi kuari di Jalan Kuari itu kini sudah ‘merebak’ sehingga ke Jalan Hulu Langat dan telah menyebabkan pencemaran udara yang serius.

“Bukan itu sahaja, operasi beratus-ratus lori yang membawa lebih muatan seawal pukul 4 pagi di situ juga mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya semasa melawat penduduk di kawasan itu baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah yang semakin merimaskan penduduk itu.

“Masalah yang dihadapi penduduk di sini semakin kritikal jika dibandingkan keadaan beberapa tahun lalu kerana kawasan operasi kuari semakin membesar.

“Pihak berkuasa perlu campur tangan kerana hal ini melibatkan soal keselamatan dan kesihatan orang ramai,” tegasnya.