Pengurus Besar Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) KTMB, Justine Jude berkata, kempen itu disasarkan kepada penumpang ETS dengan memperkenalkan jualan produk berupa biskut pelbagai rasa pada harga serendah RM1.

“Kempen yang diadakan di dalam tren ETS tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu pertubuhan terlibat mempromosikan produk-produk mereka.

“Istimewanya, produk tersebut adalah hasil buatan sendiri orang kurang upaya (OKU) dari Pertubuhan Kelainan Upaya Pembelajaran (GOLD) Daerah Petaling dan hasil jualan itu akan disumbangkan kepada pertubuhan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Jualan Amal Kindness Cookies dan Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Swafoto dengan Kapten EJ di KL Sentral di sini hari ini.

Seramai lapan ahli pertubuhan berkenaan bersama 20 kakitangan KTMB dan Brahim’s Sats dibawa menaiki tren ETS dari stesen KL Sentral ke Tanjung Malim bagi menjual produk mereka kepada penumpang bersempena kempen tersebut. - UTUSAN ONLINE