Tinjauan Utusan Malaysia di masjid berkenaan mendapati, para jemaah terpaksa beratur panjang menanti giliran untuk mengambil wuduk menerusi tangki statik yang dibekalkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Rata-rata jemaah turut menggunakan air botol mineral yang dibawa sendiri untuk mengambil wuduk sebelum menunaikan solat Jumaat.

Tinjauan turut mendapati, hanya dua buah tangki statik dibekalkan kepada masjid berkenaan dan para jemaah bimbang jika tangki itu kehabisan air selepas solat Jumaat.

Pengerusi masjid tersebut, Mohd. Abdul Aziz Mohamed berkata, masalah gangguan air itu merencatkan aktiviti dan keperluan masjid bagi membekalkan air untuk kegunaan para jemaah.

“Pihak masjid sedang berusaha menangani masalah ini dan memohon tangki statik daripada Syabas untuk keperluan para jemaah masjid dan kawasan berhampiran.

“Kami turut memohon bekalan air daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membantu penduduk di kawasan ini. Saya berharap agar isu air yang melanda Lembah Klang dapat diselesaikan dengan segera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Dalam perkembangan sama, pekerja swasta, Muhammad Shayutie Johari, 23, pula berkata, gangguan bekalan air merupakan satu igauan ngeri kepada penduduk memandangkan ia merupakan keperluan asas.

“Segala aktiviti harian terjejas ekoran krisis air. Sebagai contoh, solat Jumaat hari ini sedikit kelam-kabut kerana masing-masing terpaksa beratur panjang mengambil wuduk,” katanya.

Difahamkan, seluruh premis perniagaan, termasuk hotel bajet, pusat dobi, pusat cucian kenderaan dan perumahan di kawasan terbabit terlibat dengan gangguan bekalan air sekali gus merencatkan segala aktiviti harian mereka. - UTUSAN ONLINE