KUALA LUMPUR 19 Sept. - Seramai 120 penerjun antarabangsa dari 23 negara akan mempersembahkan aksi terjunan ekstrem yang pasti memukau pengunjung pada KL Tower International Jump Malaysia 2017 di Menara Kuala Lumpur (KL), di sini.
Edisi penganjuran buat kali ke-17 itu berlangsung pada 29 September ini hingga 2 Oktober depan bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang (terjunan siang) dan 8 malam hingga 10 malam (terjunan malam).
Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Meor Shahril Anuar berkata, para penerjun akan membuat terjunan dari kepala menara 7 pada ketinggian 312 meter dari paras bumi selain turut mempersembahkan aksi yang paling mendapat perhatian iaitu terjunan kren.
“Untuk menambah kemeriahan acara tahunan ini, Menara KL ingin menawarkan pakej yang ditunggu-tunggu peminat iaitu ‘sitting on the ledge’ yang membolehkan mereka menyaksikan secara dekat aksi terjunan dari tebing ‘sky deck’,” katanya dalam sidang akhbar program berkenaan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE