Pengerusi Bencana Daerah Hulu Langat, Datuk Rosli Othman berkata, pemeriksaan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu akan melibatkan kesemua 114 buah tiang konkrit pangsapuri berkenaan.

Beliau yang merangkap Pegawai Daerah Hulu Langat berkata, sebanyak 155 mangsa diarah mengosongkan unit kediaman masing-masing selepas arahan pemindahan dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Mangsa daripada 20 buah keluarga yang kini ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga akan dipindahkan ke Dewan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Seksyen 2, Bandar Baru Bangi di sini manakala 18 buah keluarga memilih untuk berpindah ke penempatan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Video oleh Amirul Aiman Anuar