Sumbangan tersebut diperoleh hasil usaha Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) menerusi kempen RM10 Untuk Ibu Eshah.

Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, pelancaran kempen bertujuan membantu Eshah, 77, dan Sulaiman, 53, di Gual Periuk, Rantau Panjang, Kelantan yang hidup dalam serba kekurangan dan daif.

Menurutnya, kempen berkenaan digerakkan menerusi media sosial sejak Jun lalu.

“Kami bertekad untuk membantu dua beranak ini kerana di sebalik kehidupan serba kekurangan, mereka tetap berdikari dengan saki-baki kudrat yang ada. 

“Mereka merupakan ikon masyarakat kepada mana-mana individu yang banyak memberikan alasan hidup susah atas faktor kemiskinan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Walaupun berdepan seribu kepayahan dan kesusahan, Eshah dan Sulaiman tetap cekal, malah tidak pernah menyerah kepada nasib.

Kedua-duanya sentiasa berusaha bagi memperbaiki mutu kehidupan mereka yang berada di bawah garis kemiskinan tegar.

Apatah lagi tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak kebajikan mahupun pertubuhan berkaitan di Kelantan.

Mereka meneruskan kehidupan menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dan pasar malam di sekitar Gua Musang.

Dengan motosikal usang yang dimiliki oleh Sulaiman, mereka berulang alik dari Gual Periuk ke Pasar Siti Khadijah setiap hari dan sesekali ke Gua Musang.

Berikutan motosikal terlalu uzur ditambah barangan jualan yang banyak, mengakibatkan kenderaan yang mereka tunggang itu sering menjadi tidak stabil.

Akibatnya, kedua-dua beranak tersebut beberapa kali terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Jelas Jismi lagi, pada awalnya kempen RM10 Untuk Ibu Eshah disasarkan membina tempat tinggal yang lebih kondusif bagi keluarga tersebut, namun kerana jumlah sumbangan belum mencukupi, maka dana terkumpul sehingga kini digunakan untuk membeli motosikal roda tiga.

Katanya, Eshah dan Sulaiman tidak mempunyai rumah yang selamat untuk dihuni. 

“Walaupun mempunyai sebidang kecil tanah, mereka tidak mampu untuk membina rumah kerana tidak mempunyai wang mencukupi.


“Buat masa sekarang, kedua-duanya menumpang teduh di bangsal milik saudara mereka. Bangsal tersebut terletak jauh di pedalaman dan masyarakat setempat iaitu dalam dusun tanpa sebarang keperluan asas seperti air bersih dan elektrik,” katanya.

Beliau memberitahu, wakil Mahar di Kelantan telah berjumpa dengan pihak-pihak berwajib di daerah tempat tinggal mereka malah ada yang melawat sendiri bangsal keluarga tersebut.

Namun ujar beliau, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas mengenai bentuk bantuan yang boleh disalurkan. 

“Mahar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada inisiatif ini. 

“Kami berharap selepas ini, ada pihak berkuasa tempatan akan membantu keluarga ini membina tempat tinggal yang selamat untuk mereka memandangkan faktor usia kedua-duanya yang sudah lanjut di samping tiada tempat lain untuk mengadu nasib sehingga hari ini,” jelas Jismi.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang bagi kempen RM10 Untuk Ibu Eshah boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB Islamic bernombor 8602599764 atas nama Malaysian Humanitarian Aid and Relief. - UTUSAN ONLINE