Ini kerana dia lebih sinonim dengan dunia perfileman berbanding drama yang hanya dilakukan pada awal kemunculan iaitu pada 2003 menerusi drama Country Princess, 1 % of Anything dan Magic.

Aktor berusia 37 itu lebih senang berlakon filem dan hampir setiap tahun dia akan muncul dalam sebuah filem sebagai kesinambungan kerjaya seninya.

Menurut Dong Won, kehadirannya ke Malaysia adalah untuk bertemu dengan peminat-peminatnya secara peribadi dan tidak sangka sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Kira-kira 100 peminat bertuah telah dipilih untuk bertemu dengannya dalam satu perjumpaan tertutup yang diadakan di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

“Saya gembira dapat bertemu dengan anda semua untuk pertama kali dan ini juga merupakan lawatan ulung saya ke Malaysia. Pertemuan dengan peminat di sini merupakan impian saya yang berjaya dilaksanakan.

“Memandangkan kunjungan saya ke sini begitu singkat, saya harap dapat datang lagi di masa akan datang untuk mengenali masyarakat di sini dengan lebih dekat,” katanya.

Dia yang fasih bertutur bahasa Inggeris berkata, selepas muncul dalam filem Golden Slumber yang sedang ditayangkan di pawagam, lakonannya juga dapat ditonton menerusi filem In-rang yang akan ditayangkan pada tahun ini juga.

Seperti aktor Lee Byung-hun yang melangkah ke pentas Hollywood, Dong Won juga akan mengorak langkah ke peringkat antarabangsa menerusi filem Tsunami LA.

“Tsunami LA merupakan filem Hollywood pertama saya. Banyak persediaan yang perlu saya lakukan kerana dalam filem itu saya seorang peluncur air, sedangkan saya tidak pernah melakukan aktiviti itu.

“Filem arahan Simon West itu akan menjalani penggambaran di England dan Bulgaria. Sebetulnya saya amat berdebar kerana saya melakonkan watak utama,” katanya. - UTUSAN ONLINE