Tanpa publisiti meluas, A.Razak, 66, masih mampu bertahan sehingga sekarang kerana di belakangnya berdiri teguh Fan Club A.Razak (FCAR) yang ditubuhkan sejak 2012 dan dia bertindak sebagai pengerusi.

Sehingga kini terdapat kira-kira 436 anggota yang sering berhubung menerusi Facebook FCAR sementara 157 orang lain selesa menggunakan aplikasi WhatsApp.

A.Razak yang merupakan bekas juruhebah Radio Klasik berkata, rata-rata yang menganggotai FCAR adalah pendengar setia siaran radio tersebut sewaktu dia bertugas dulu.

“Saya jenis yang tak suka menonjolkan diri. Bila tak ada yang panggil, tak adalah saya muncul di televisyen atau akhbar. Lagipun saya sudah bersara sebagai juruhebah, entah orang ingat saya atau tidak.

“Bagaimanapun saya cukup terharu kerana sentiasa mendapat sokongan daripada FCAR, hubungan kami seperti adik-beradik. Saya sebagai abang Long kepada mereka dan antara kami tidak ada rahsia. Ahli kelab tahu yang saya ada dua rumah, satu di Pelabuhan Kelang dan yang kedua di Shah Alam. Saya tak tipu peminat, daripada dulu saya suka berterus terang,” katanya tanpa berselindung.

Kata A.Razak sudah lama dia beristeri dua dan setakat ini tiada masalah dalam mengendalikan urusan rumah tangga. Jelasnya, hubungan antara isteri pertama, Norhafis Abd. Aziz dan kedua, Siti Norngaliah Mohd. Salihin, tiada masalah kerana masing-masing saling bertolak ansur.

“Kalau ikutkan sudah 16 tahun saya kahwin dengan isteri kedua dan setakat ini saya berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik walaupun ada masanya tak sempurna. Maklumlah saya ini manusia biasa, biarpun sentiasa mencuba berlaku adil.

“Bila ada dua rumah ini, kita perlu adil kerana saya tak mahu dipersoalkan di akhirat nanti. Alhamdulillah, isteri-isteri saya baik antara satu sama lain dan kadang-kadang bila balik kampung, saya akan bawa kedua-duanya sekali. Bagi saya yang penting, perlu banyak berdoa dan meminta kepada Allah. Jangan sesekali seleweng,” ceritanya.

Selain itu, bapa kepada tujuh anak itu juga berkata, kesemua anak-anaknya juga boleh terima selagi ibu masing-masing bahagia.

Sementara itu, dia yang bakal menjayakan Program Gala 70-an FCAR Bersama A.Razak di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, pada 28 Julai 2018 berkata, untuk program tersebut beberapa rakan artis akan turut serta.

Rakan artis yang tersenarai ialah Maria Bachok, J.Mizan, Junainah M.Amin, Fatimah Razak, Zalifah Ibrahim dan A.Rozainie.

“Program ini diatur oleh FCAR dan ini bukan kali pertama diadakan. Selain program begini, FCAR juga sering atur majlis yang menyatukan ahli kelab. Semua itu dilakukan bagi mengeratkan hubungan sesama FCAR.

“Inilah masanya rakan-rakan seangkatan dengan saya berkesempatan untuk melepaskan rindu menyanyi. Walaupun artis-artis 70-an jarang diberi kesempatan mengadakan persembahan besar tapi kami ada undangan. Macam saya sendiri, sejak Mac lalu undangan tak henti-henti. Siapalah saya nak demand, orang panggil saya pergi,” katanya merendah diri.

Penyanyi yang popular dengan lagu Penantian Cinta, Seiring Kata Bermadah Sayang serta Bintang Malam Ini berkata, kalau diberi peluang untuk merakam single baharu, dia tidak menolak kerana sehingga kini ada sahaja yang bertanya bila dia akan tampil dengan lagu baharu.

“Saya pernah kumpul lagu-lagu lama dendangan saya dalam cakera padat dan ada peminat yang sanggup beli. Dari situ saya tahu, sokongan peminat terhadap saya tidak henti biarpun sekarang ini ramai penyanyi baharu yang muncul,” katanya. - UTUSAN ONLINE