Mengambil inisiatif itu, pengusaha Dari Dapur Sara, Aiminurulzita Saimin, 35, membuat keputusan mencari kelainan dalam menu istimewanya iaitu kuih tat keju lebih dengan mewujudkan identiti ‘Budak Gemuk’.

Menurutnya, sebanyak enam perisa ditawarkan termasuk perisa mangga, oren, coklat dan lemon mengikut citarasa pelanggan dengan kepelbagaian corak dan reka bentuk pada kuih tersebut.

“Pada awal saya membuka tempahan untuk kuih tat biasa sahaja, tetapi apabila permintaan ramai terhadap lebihan keju, saya mengambil keputusan untuk menjual kuih tat keju lebih dengan ilham nama ‘Budak Gemuk’ sesuai dengan rupa bentuk kuih tersebut.

“Setakat hari ini, alhamdulillah permintaan sangat menggalakkan terutama penggemar kuih yang berasakan lebihan keju,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Video oleh FAUZI SUHAIMI

Aiminurulzita berkata, dalam sebulan, dia mampu menghasilkan sebanyak 3,000 biji kuih tat.

“Kini saya hanya menjual secara dalam talian sahaja dan menghantar semua tempahan di sekitar Kampung Baru dan Cheras, Kuala Lumpur pada hari bekerja sahaja.

“Kuih ini dijual pada harga RM1.30 sebiji dan mengambil tempahan sekurang-kurangnya 24 biji untuk satu tempahan,” katanya.

Menurutnya, selain Budak Gemuk, antara kuih lain yang turut dijual termasuk kek keju, kek cawan dan brownies.

Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubunginya terus di talian 017-291 0586 atau layari laman sosial akaun Facebook dan Instagram Dari Dapur Sara. - UTUSAN ONLINE