Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pelaksanaan itu sesuatu yang positif untuk rakyat namun tidak bermakna semua pihak boleh berada dalam zon selesa kerana harga barang perlu dipantau secara berkesan.

“Tiada lagi keluhan dan rungutan orang ramai terhadap beban cukai GST sebanyak enam peratus yang ditanggung sejak tiga tahun lalu.

“Tetapi semua pihak kena pastikan supaya harga barang dan caj perkhidmatan dapat diturunkan pada tahap yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nadzim berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah untuk memastikan kejujuran dalam urusan jual beli yang merangkumi pelbagai aspek terutama penetapan harga selain kualiti barangan yang dijual.

“Ia adalah berita yang menggembirakan semua cuma saya khuatir perkara ini tidak terlaksana sebaik mana yang kita kehendaki.

“Oleh sebab itu, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan keputusan kerajaan ini memberi impak yang positif kepada pengguna,” - UTUSAN ONLINE