Video oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

 

Pameran bertemakan ‘My Malaysia Memory’ itu menyasarkan sebanyak 3,000 foto bercetak untuk dipamer kepada umum dan para peminat fotografi dialu-alukan menyertai pameran tersebut.

Lebih menarik, 100 gambar terbaik dalam pameran itu akan menerima hadiah penghargaan daripada syarikat tersebut berdasarkan kualiti dan kreativiti foto masing-masing.

Menurut Ketua Jualan Fujifilm Malaysia, Hon Soon Teng, pameran itu bertujuan mengembalikan memori percetakan gambar dalam kalangan pengunjung.

“Dunia fotografi khususnya digital semakin berkembang dengan pesat, tambahan dengan kewujudan kamera pada telefon pintar. Ini kerana fotografi adalah sejarah, gambar yang dirakam hari ini akan menjadi sejarah.

“Sekarang mereka hanya mengambil gambar menggunakan telefon dan menyimpannya tanpa mencetak gambar itu. Sebab itu, pameran ini dianjurkan bagi memaklumkan orang ramai mengenai kepentingan tersebut,” katanya ketika ditemui pada pelancaran pameran tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Fujifilm Malaysia, Yoshitaka Nakamura.

Terdahulu, Yoshitaka turut melancarkan kamera edisi khas Instax Minion Fujifilm yang akan dijual di pasaran bermula September ini.

Menurut Soon Teng, pelbagai aktiviti menarik berkaitan fotografi akan dianjurkan kepada para pengunjung.

“Kita turut menganjurkan bengkel, pameran kamera digital, kamera digital lensa tunggal (DSLR), kamera segera (Instax) dan mesin cetak Fujifilm. Selain itu, kanak-kanak akan dimeriahkan dengan aktiviti DIY,” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai pameran tersebut boleh melayari laman web http://shootprintshare.fujifilm.my/ bagi sebarang maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE