Festival buat julung kalinya dijayakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dirasmikan isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggraini Sentiyaki yang anggun mengenakan busana bermotifkan batik.

Menurutnya, acara yang mengangkat khazanah tekstil daripada pelbagai etnik dalam negara itu bertujuan mengetengahkan pakaian tradisional yang kaya nilai seninya iaitu songket dan batik buat tatapan generasi muda terutama warga kota.

Pesta tekstil budayawan yang bermula seawal pukul 8 pagi itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian acara antaranya Pertandingan Busana Tercantik, demonstrasi silat serta warna-warni persembahan pentas antaranya gamelan dan serunai.

Acara kemuncak festival itu diteruskan dengan Peragaan Pertandingan Rekacipta Busana Tradisional Kreatif yang disertai lebih 30 peserta bersama rekaan busana masing-masing untuk diadili bagi merebut gelaran johan. - UTUSAN ONLINE