Memulakan karier di pentas peragawan, kemudian berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan terkini bergelar penyanyi, Fee mahu melakar sendiri kanvas seninya tanpa mengharap ihsan nama baik sesiapa.

“Ya, diakui saya ada kelebihan tersebut untuk memudahkan perjalanan seni saya. Tetapi, biarlah saya teroka bidang ini berdasarkan kebolehan sendiri.

“Jika berjaya mencipta populariti atas usaha sendiri, berbaloi rasanya. Lagipun, tiada jalan pintas untuk berada pada puncak tertinggi. Kena daki anak tangga satu-persatu, barulah dapat rasa kepuasan maksimum,” kata pemilik nama penuh Muhammad Alfeeq Haikal itu.

Menurut finalis Mister Planet Nation Malaysia 2014 (MPM2014) yang baru mengeluarkan single sulung berjudul Aku Mencari itu, dia cuba lari daripada lambakan genre muzik sedia ada di pasaran.

“Lagu ini adalah ciptaan saya sepenuhnya dan berentak pop R&B, bukan seperti lagu-lagu yang sedang hangat dimainkan di corong-corong radio.

“Saya akui, ini bukan cita rasa muzik semasa yang lebih gemarkan irama balada 80-an atau 90-an atau klasik. Tetapi saya percaya, rezeki setiap orang itu berbeza,” katanya.

Tambahnya, walaupun penerimaan pendengar perlahan terhadap karya tersebut, dia bersyukur kerana masih ada yang memberikannya dorongan serta sokongan.

Selepas ini katanya, dia sedia untuk menukilkan karya lebih segar untuk meneruskan perjuangan seninya yang dijangka keluar selepas Syawal.

Menurut Fee, dia merancang untuk keluarkan album pertama tidak lama lagi di samping dua buah single berjudul Matahari dan Kau Milikku. - UTUSAN ONLINE