WAN NOR
Wan Mohammad Ghazali Nor
Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, masalah tangki air, pembiakan tikus dan kerosakan taman permainan kanak-kanak di perumahan itu akan diatasi dengan segera.

“Masalah kebocoran tangki itu berpunca daripada kerosakan bebola yang terdapat di dalam­nya, menyebabkan air me­limpah keluar.

“Taman permainan kanak-ka­­nak akan dibaik pulih oleh kontraktor lantikan hujung bulan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Wan Mohammad Ghazali, DBKL dengan kerjasama penduduk akan me­ngadakan gotong-royong bagi membasmi ma­salah tikus di perumahan itu.

“DBKL akan memberi bantuan daripada segi logistik kepada mereka. Kita akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pemba­ngunan Landskap dan Rekreasi DBKL melaksanakan kerja-ker­ja mencantas pokok, selain sem­buran bagi mengatasi masalah tikus,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, selain persa­tuan penduduk sedia ada, DBKL juga me­lantik ketua blok dan ketua tingkat di setiap blok PPR bagi membantu mena­ngani permasalahan penduduk.

Dalam perkembangan lain, kata Wan Mohammad Ghazali, DBKL tidak bertolak ansur sekiranya penduduk terlibat dengan akti­viti yang melanggar syarat-syarat menduduki PPR atau jenayah.

“DBKL akan mengeluarkan kompaun dan sekiranya kes itu berulang, kediaman mereka bakal disita. Ini kerana kes seperti vandalisme dan tidak menjaga kemudahan awam menyebabkan DBKL terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi penyelenggaraan,” katanya.