Video oleh RAZAK LATIF

Itu realiti yang berlaku di kawasan ‘panas’ perniagaan Bazar Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India apabila menjelang musim perayaan.

Tinjauan Skuad Terjah ke lokasi tersebut baru-baru ini mendapati, isu penjualan tapak bazar masih wujud, meskipun pelbagai tindakan diambil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Lebih hebat apabila modus ope­randi penjual tapak adalah dengan mendaftarkan pembeli tapak sebagai pembantu mereka seperti yang disyaratkan bagi mengaburi mata pihak berkuasa tempatan itu.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Maziah Ibrahim, 35, harga seunit tapak yang ditawarkan antara RM25,000 hingga RM30,000 untuk tempoh sebulan.

“Selepas membayar, kami bo­leh berniaga seperti biasa tanpa rasa ragu kerana semua urusan pendaftaran diselesaikan pemilik tapak yang memenangi menerusi undian daripada DBKL.

“Walau bagaimanapun, ia dilihat seperti mengambil kesempatan terhadap orang lain dengan cara memperjudikan tapak bazar demi mera­ih keuntungan mudah dan berlipat ganda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, peniaga yang ma­hu dikenali Nor Ahmad, 43, memberitahu, tindakan itu telah menyebabkan peniaga yang terpaksa mengeluarkan modal besar untuk berniaga di beberapa tapak ter­tentu yang dilihat lebih strategik.

“Semua sedia maklum, tapak untuk tahun ini terlalu terhad. Malah tapak yang ditawarkan DBKL khususnya di beberapa ka­wasan baharu dilihat seperti tidak mendapat sambutan.

“Hal ini telah menyebabkan pemilik tapak mengambil kesempatan dengan cara mudah meraih keuntungan ‘atas angin’ tanpa memerlukan modal yang besar,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai pulangan hasil dengan menyewa tapak sehingga ribuan ringgit ini, dia berkata, pendapatan yang diperoleh dalam tempoh sebulan ini mampu mencecah sehingga jutaan ringgit.

“Kata orang, berniaga di sini dalam tempoh sebulan boleh menyara hidup untuk tempoh setahun,” jelasnya.