Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, sebanyak 65 buah rumah terjejas di Taman Tun Perak dekat sini selepas kawasan terbabit dinaiki air sehingga 0.3 meter.

Menurut beliau, hujan lebat di kawasan perumahan itu menyebabkan paras air Sungai Pajam naik kepada 3.5 meter dan melimpah sehingga menyebabkan banjir.

Jelasnya, kawasan kedua membabitkan di Jalan B27 berhampiran pusat beli belah AEON sehingga ke persimpangan Country Homes dekat sini apabila dinaiki air setinggi 0.5 meter.

Tambahnya lagi, hujan lebat serta pembinaan jambatan baharu berhampiran di Sungai Gong sehingga menyebabkan air tidak mengalir dengan sempurna sehingga paras air meningkat kepada 3.5 meter.

“Empat keluarga membabitkan 20 dewasa, tujuh kanak-kanak dan seorang bayi di kawasan Kuang dibawa keluar dan ditempatkan ke kawasan penempatan sementara selepas dinaiki air setinggi 0.3 meter. Selain itu, tiga gerai makan di tepi jalan dan kawasan di sekitar bulatan Batu Arang, Kuang dekat sini turut terjejas teruk selepas air anak Sungai Air Hitam melimpah ke kawasan terbabit.

“Kita mendapati anak sungai di sekitar Pejabat Pos Batu Arang tersumbat sehingga menghalang aliran air bergerak dengan sempurna serta anak sungai yang melalui belakang Balai Bomba Batu Arang sehingga kilang kayu balak tidak diselenggara dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Video dari MEDIA SOSIAL