Selain memudahkan pengguna bergerak ke pelbagai lokasi di ibu kota, hentian ini juga antara menjadi pilihan mereka terutama dari negeri-negeri di pantai timur untuk menggunakan perkhidmatan bas ke Kuala Lumpur.

Sehingga kini walaupun kiri kanan hentian tersebut banyak didirikan bangunan-bangunan pencakar langit, operasi menurun dan mengambil penum­pang masih tetap berjalan seperti biasa.

Hentian tersebut masih menjadi pilihan orang awam untuk ke destinasi seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Raub, Mentakab, Temerloh dan Bentong.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati hentian tersebut masih sibuk lebih-lebih lagi menjadi stesen terakhir per­khid­matan monorel dan transit alir­an ringan (LRT) Titiwangsa.

Di kiri kanan kelihatan bangunan pencakar langit tersergam indah begitu juga kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) jajaran kedua Sungai Suloh-Serdang-Putrajaya sedang dilaksana di tapak berhampiran.

Berdasarkan pemerhatian kea­daan kemudahan di hentian itu uzur dan tidak sesuai lagi digunakan.

Ruang menunggu yang hanya dipasangkan sebuah kipas membuatkan pengguna terpaksa menahan panas dan tidak selesa. Begitu juga kemudahan surau, tandas yang sempit dan kotor.

Rata-rata pengguna yang ditemui berpandangan, hentian bas itu sudah tidak sesuai beroperasi di situ dengan keadaan persekitaran yang semakin pesat membangun.

Mereka berasakan sudah tiba masanya operasi dipindahkan ke Pudu Sentral atau ke Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) demi keselesaan, kemudahan dan ke­selamatan pengguna.

Utusan Malaysia difahamkan sebelum ini terdapat cadangan memindahkan hentian tersebut ke TBS-BTS namun sehingga ke hari ini status mengenainya terus menjadi tanda tanya.