Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala berkata, pameran bertaraf antarabangsa yang berlangsung di Taman Pudu Ulu, Cheras, di sini dibuka secara percuma kepada orang ramai dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Katanya, selain pameran, pelbagai aktiviti lain turut diadakan antaranya pertandingan orkid dan bonsai, bengkel perkebunan, pertandingan gubahan bunga, mewarna, melukis, bola jaring, wall climbing, futsal, karaoke dan Battle Of The Band.

“Penglibatan warga kota dalam KLOBS 2017 ini dapat mendedahkan mereka dengan pelbagai maklumat berkaitan ilmu landskap dan hortikultur yang berkaitan khususnya pokok bonsai dan orkid,” katanya ketika berucap merasmikan KLOBS 2017 hari ini.

Sebanyak 55 tapak jualan dan pameran disediakan dalam pameran buat kali keenam itu dan dijangka menarik minat seramai 70,000 pengunjung. - UTUSAN ONLINE