Video oleh AMIRUL AIMAN ANUAR

Pengurus Besar Media dan Komunikasi Korporat Syabas, Siti Zubaidah Zakaria berkata, daripada jumlah tersebut 98 kes curi air diklasifikasikan sebagai sahih dan pihak Syabas telah mengambil tindakan lanjut terhadap semua kes tersebut.

Terbaharu dalam operasi yang dijalankan oleh Syabas dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sebuah tapak projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Taman Melati di sini diserbu selepas didapati terlibat dalam kegiatan curi air.

Menurut Siti Zubaidah, sambungan paip secara haram sejak setahun lalu daripada paip utama Syabas oleh pihak kontraktor itu merekodkan kerugian bernilai RM145,364.59 atau bersamaan 63,756.40 meter padu air.

“Selepas siasatan dilakukan hasil aduan orang ramai kira-kira dua minggu lalu membuahkan hasil selepas pemeriksaan di kawasan pembinaan itu menemui sambungan paip High Density Polyethylene (HDPE) berukuran 32 milimeter yang menggunakan penyambungan paip ‘T’.

“Notis Pemberitahuan Ke­salahan dan Tindakan Penguatkuasaan dikeluarkan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) kepada pihak yang tidak bertanggungjawab itu untuk menuntut ganti rugi di atas kehilangan air sepanjang tempoh kecurian.

“Siasatan juga mendapati paras tekanan air paip utama berkenaan turut terjejas sehingga menyebabkan tekanan air rendah kepada pengguna sekitar kawasan Taman Melati dan berhampiran,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Penyambungan Bekalan Air Tidak Sah bersama SPAN yang diwakili Eksekutif Kanan Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Penggunanya, Loh Pit Mui.

Sementara itu, menurut Pit Mui, penyambungan haram itu membekalkan bekalan air terawat ke kawasan pembinaan termasuk untuk kegunaan harian pekerja-pekerja binaan di rumah kongsi sementara dalam kawasan tapak projek.

Katanya, tinda­kan un­dang-undang me­ngikut Sek­syen 123 di bawah Akta Industri Per­khidmatan Air 2006 yang memperuntukan hanya pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke sesuatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan.

“Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya boleh dikenakan mahkamah bawah Seksyen 123 (3) di bawah akta yang sama,” jelasnya.