Lebih menambah keterujaan mereka apabila unit rumah yang diterima itu dikurniakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, program itu merupakan bantuan kerajaan bagi menangani masalah kemiskinan bandar di kawasan ibu kota.

“Para penerima merupakan golongan miskin tegar, sakit kronik dan orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan sistem e-Kasih, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kementerian menyasarkan 200 unit rumah sepanjang tahun ini.

“Sehingga kini, sebanyak 34 unit telah diserahkan. Selain itu, unit rumah yang kosong akan dibaik pulih dan dilengkapkan dengan perabot asas seperti sofa, meja makan, almari pakaian, katil, tilam dan kabinet dapur sebelum diberikan kepada penerima.

“Anggaran kos purata bagi menjayakan program ini yang merangkumi kos rumah, kos baik pulih dan barangan elektrik adalah antara RM65,000 hingga RM70,000 seunit,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat (Baiti Jannati) di PPR Desa Rejang, di sini hari ini.

Pada program penuh bermakna itu, Sultan Muhammad V turut meluangkan masa bersama rakyat serta melawat rumah asal dan rumah baharu penerima di PA Desa Rejang.

Sementara itu, seorang pene­rima, Mohamad Razali Samad, 62, berkata, hadiah tersebut bagaikan durian runtuh untuk dirinya sekeluarga yang bertahun-tahun mengimpikan kediaman sendiri.

“Sekurangnya-kurangnya ia dapat membantu dalam mengurangkan perbelanjaan kami. Lagipun, saya sudah tidak boleh bekerja lagi kerana penyakit yang dialami pada bahagian kaki,” katanya yang tinggal di PPR Air Panas, Setapak.

Seorang lagi penerima, Suhaida Saadon, 36, berkata, kediaman yang dimiliki itu dianggap sebagai rezeki untuk tujuh orang anaknya yang masih berada di bangku persekolahan.