Pengasas dan penganjur program, Jason Tan berkata, acara tahunan sejak 2016 itu berbeza pada tahun ini apabila melibatkan penyertaan daripada peniaga aksesori dan alat ganti kenderaan selain penjual kenderaan yang menawarkan model lama dan baharu.

“Kami juga berjaya menghimpunkan lebih 70 kelab pemotoran dari seluruh negara dan dari Thailand melibatkan 600 ahli yang mempamerkan kenderaan ubah suai dengan gaya dan reka bentuk menarik untuk tatapan pengunjung.

“Pameran ini mencapai objektif dan sasaran apabila berjaya menghimpunkan semua pemain industri automotif bagi tujuan bertukar maklumat, berkongsi kepakaran serta mengembangkan bidang perniagaan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Lebih 200 kenderaan berjenama tempatan dan luar negara dari model tahun 60-an termasuk supercar dipamer termasuk persembahan istimewa oleh dua trak bigfoot yang didatangkan khas dari Thailand.

Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diisi dengan pelbagai aktiviti lain antaranya pameran kereta, pertandingan gymkhana, audio kenderaan dan cabaran drift. - UTUSAN ONLINE