Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keunikan cara hidup masyarakat Orang Asli seperti hasil kraf bermutu tinggi, makanan, pakaian dan acara kebudayaan ternyata masih asing dan mempunyai nilai komersial untuk dipromosikan sebagai produk pelancongan.

Amirudin berkata, pembangunan perkampungan Orang Asli akan diberi perhatian terutama meningkatkan kemudahan asas seperti jalan raya serta bekalan elektrik dan air agar kebajikan komuniti tersebut terus dibela.

“Masyarakat Orang Asli kini kian terbuka dan mampu menerima kehadiran masyarakat luar termasuk pelancong selain mempunyai pelbagai produk kraftangan yang dihasilkan penduduk setempat,” katanya selepas merasmikan Karnival Kebudayaan dan Kesenian Orang Asli 2018, dekat sini hari ini.

Kira-kira 300 penduduk Kampung Orang Asli Sungai Rasau, Batu 14 hadir memeriahkan pelbagai acara yang berlangsung antaranya pertandingan menyumpit, menganyam, tarik tali serta persembahan tarian daripada pelbagai suku Orang Asli di negeri ini. - UTUSAN ONLINE