Ini berikutan empat tangki air utama berusia 30 tahun di dua blok perumahan bertingkat itu sudah terlalu uzur dan tidak diselenggara sehingga ke hari ini.

Penduduk mendakwa, keadaan itu membuatkan mereka tidak tidur lena kerana bimbang tangki air tersebut pecah bila-bila masa sahaja.

Tinjauan Utusan Malaysia di kedua-dua blok baru-baru ini mendapati dakwaan penduduk berasas apabila kesemua tangki air yang setiap satu boleh menampung 70,000 liter air itu berada dalam keadaan u­sang dan berkarat.

Berdasarkan kepada pemerhatian, beberapa keretakan turut dikesan pada bahagian dinding tangki.

Pengerusi Persatuan penduduk pangsapuri itu, Rosly Adnan berkata, pihaknya ada mengupah sebuah agensi bagi memeriksa tahap keselamatan tangki di situ dan amat mengejut apabila dimaklumkan masalah itu bagaikan bom jangka dan boleh mengancam keselamatan penduduk.

Menurutnya masalah tersebut telah berada dalam pengetahuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil.

“Sebelum ini penduduk dijanjikan oleh pihak berkuasa tempatan itu kerja-kerja penyelenggaraan akan dilaksanakan pada akhir tahun lalu.

“Sampai bila penduduk perlu menunggu dan sekali lagi saya merayu agar pihak bertanggungjawab memberi keutamaan kepada perkara ini demi keselamatan dan keselesaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Rosli, pihaknya turut berharap DBKL dapat meluluskan permohonan mereka bagi kerja-kerja mengecat bangunan perumahan itu.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid, ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia mengesahkan menerima permohonan berkaitan kerja-kerja penyelengaraan tangki air di kawasan perumahan itu.

“Pihak kami masih dalam proses mempertimbangkan permohonan tersebut dan berharap penduduk dapat bersabar,” katanya.