Individu ini akan mengarahkan anda untuk meletakkan kende­raan di petak kosong disediakan seterusnya mendekati dan me­minta wang.

Situasi itu dihadapi sebahagian besar warga kota yang memilih untuk menaiki kenderaan sendiri ketika berurusan di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara terutama pada sebelah petang sehingga lewat malam.

Kegiatan penjaga tempat kereta haram atau ulat parkir yang semakin berleluasa di bandar raya sehingga hari ini juga seolah-olah menafikan kewibawaan dan pe-ranan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan.

Difa­hamkan selain gelandangan, mereka yang menjadi ulat parkir juga dipercayai terdiri daripada penagih dadah dan ahli kumpulan samseng yang dilindungi.

Tinjauan Skuad Terjah di sekitar Chow Kit, Kampung Baru, Lorong Haji Taib dan Jalan Bunus di sini mendapati sekumpulan ulat parkir berkeliaran dan dikesan mengutip wang daripada pemilik kenderaan antara RM1 hingga RM5.

Berdasarkan pemerhatian, kawasan itu adalah di bawah kendalian DBKL dan terdapat mesin tiket parkir diletakkan berhampiran.

Orang ramai yang ditemui mendakwa mereka tiada pilihan lain selain terpaksa membayar caj parkir kepada individu berkenaan kerana tidak mahu kenderaan mereka dirosakkan.

Difahamkan, jumlah kutipan melalui kegiatan ulat parkir itu boleh mencecah RM100 sehari.

Sementara itu, tinjauan Skuad Terjah pada sebelah malam di Uptown Danau Kota sepanjang Ra­madan lalu seperti lubuk rezeki kepada ulat parkir.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan diminta lebih tegas dalam mengekang kegiatan ulat parkir yang semakin berleluasa di sekitar ibu negara bagi memastikan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya tidak terus tercalar.