Justeru, pengedar barangan sukan terbesar tempatan, United Fitness and Leisure Sdn. Bhd. (UFL) mahu memperluaskan kerjasamanya dengan pelbagai lagi butik-butik barangan sukan lasak di seluruh negara agar dapat meletakkan Malaysia ke peta sukan lasak dunia.

Pengarah Urusan UFL, Datuk Radha Krishnan berkata, antara usaha yang dilakukan adalah memperkukuhkan kerjasama dengan penyedia barangan sukan lasak Corezone yang baru saja membuka butik di Lightbox, Sungai Buloh, Selangor.

Walaupun kerjasama itu telah terjalin sejak 10 tahun lalu, pembukaan butik baharu Corezone itu memberi nafas yang lebih segar untuk penggiat sukan lasak terutama yang gemar mendaki, kayak, memanjat, berbasikal dan rentas desa.

“Bukan sahaja Corezone, UFL juga sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menjalin kerjasama dengan kami agar dapat memperluaskan industri sukan eko lasak.

“Ini juga satu strategi agar kita dapat mempromosikan industri pelancongan lasak Malaysia ke negara luar,” katanya ketika majlis pelancaran butik Corezone di Sungai Buloh, dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Corezone, Leong Dee Lu berkata, Corezone yang sebelum ini beroperasi di SS2, Petaling Jaya berpindah ke lokasi baharu yang lebih luas agar dapat menawarkan lebih banyak barangan berjenama premium bagi penggiat sukan lasak di negara ini.

Katanya, pelbagai peralatan termasuk yang dibekalkan UFL dapat dipamer dan dijual di butik baharu itu selain menyediakan khidmat nasihat yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan.

Tambahnya, pembukaan butik Corezone yang baharu itu turut menambah beberapa lagi jenama produk yang diedarkan UFL iaitu Suunto, Igloo, LifeStraw dan Camelbak.