Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mohd. Na­jib Mohd. berkata, projek menaik taraf tujuh lorong dan satu ruang awam di kawasan tumpuan pelancong itu bermula sejak November lalu dan dijangka siap sepenuhnya Disember ini.

Katanya, projek menelan belanja sebanyak RM1.5 juta itu bertujuan memberikan keselesaan kepada orang awam yang menggunakan laluan berkenaan sebagai laluan pejalan kaki utama.

“DBKL mengambil inisiatif untuk memberikan imej baharu dan menceriakan lorong belakang dan sisi serta meletakkan pencahayaan pada waktu malam agar ia selamat digunakan orang ramai.

“Projek ini diharap membawa satu imej dan suasana baru kepada penduduk agar dapat menghargai dan bersama menjaga per­sekitaran bandar,” katanya ketika ditemui dalam program lawatan tapak projek pengindahan lorong belakang di sini hari ini.

Yang hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan DBKL, Fadhil Mohd. Nor.

Najib berkata, kerja-kerja menaik taraf kawasan itu melibatkan pemasangan lampu pejalan kaki dan lampu dekorasi, lukisan mural dua dan tiga dimensi pada dinding dan lantai bangunan serta penyediaan pasu bunga dan pokok di sekitar kawasan lorong.

“DBKL berharap inisiatif ini dapat mengubah persepsi negatif orang awam terhadap lorong belakang yang sering dianggap kotor dan tidak selamat digunakan, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan baharu di Bukit Bintang.

“Selain itu, projek ini juga dilihat memberi impak sosial dengan wujudnya kerjasama erat antara pihak kami dan komuniti di dalam memelihara kawasan yang telah diindahkan,” katanya.

Kata Najib, lokasi tapak yang dinaik taraf itu ialah laluan pejalan kaki utama dan jalan pintas dari Jalan Berangan ke Jalan Changkat, Jalan Rembia, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Alor dan sekitarnya.

“Setiap lorong belakang dan lorong sisi di kawasan ini dirancang dan direka bentuk dengan tema tertentu untuk mewujudkan perasaan kekitaan. Antara tema itu ialah Laman Belakang, Taman Rembia, Alam Alor, Budaya Alor, Kehidupan Alor dan Pesta Makanan,” katanya.