Bekas Ahli Majlis Kebangsaan bagi OKU, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob berkata, tuntutan itu termasuk menubuhkan Suruhanjaya Rangkuman Ketidakupayaan sebagai penguat kuasa untuk memantau dan memastikan pelaksanaan di semua entiti sektor kerajaan serta swasta.

“Golongan OKU terus berdepan halangan dan diskriminasi dalam kehidupan seharian. Kami terus dinafikan banyak hak asasi dan terpinggir dalam masyarakat, misalnya soal pendidikan dan pengajian tinggi, pekerjaan, pengangkutan dan sebagainya.

“Sejak 10 tahun lalu, Akta OKU 2008 diperkenalkan untuk mempromosikan hak golongan itu di negara ini, namun akta ini gagal dan terbukti tidak berkesan dalam melindungi hak-hak mereka. Ia hanya berfungsi sebagai dokumen pentadbiran tanpa kuasa penguatkuasaan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Dr. Naziaty, pihaknya turut menggesa kerajaan menggubal Akta Diskriminasi Ketidakupayaan yang menyediakan tindakan undang-undang dan hukuman keras kepada pihak yang tidak mematuhi akta tersebut demi melindungi hak dan menghapuskan diskriminasi terhadap OKU. - UTUSAN ONLINE