Pemerhati politik, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, beliau berasa terkilan dengan tindakan Dr. Mahathir yang menghina dan stereotaip terhadap penjaja nasi lemak dan pemandu Uber yang dianggap sebagai pekerja lapisan bawah.

Lian Ker yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat MCA memberitahu, sama ada pemandu Uber atau penjaja nasi lemak, mereka ini sebenarnya tetap bermaruah, tinggi martabat dan kaya dengan nilai-nilai hidup yang suci murni. 

“Adakah graduan yang memakai kereta mewah, bekerja kolar putih tetapi terlibat rasuah, tipu dan sebagainya lebih tinggi martabat dan maruah mereka daripada graduan yang memilih untuk bekerja secara halal dan bersungguh-sungguh untuk menampung hidup diri dan keluarga? 

“Kita kena terima hakikat bukan semua warga negara mempunyai bapa atau datuk yang juga bekas Perdana Menteri. Bukan semua orang boleh menjadi hampir bankrap semasa kegawatan ekonomi tetapi boleh kembali menjadi antara jutawan yang terkaya dalam negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Rabu lalu, Dr. Mahathir mengeluarkan kenyataan bahawa peningkatan jumlah graduan universiti tidak bekerja berdasarkan apa yang dipelajari secara akademik membuktikan kegagalan kerajaan dalam menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, ramai graduan kini terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak dan keadaan itu memalukan dan tidak sepatutnya ditunjukkan kepada media sebagai kejayaan. - UTUSAN ONLINE