Menerusi video berdurasi 1 minit 37 saat itu, wanita berketurunan Cina berkenaan dilihat memegang sebatang pengunci stereng kereta dan menghalakannya ke arah penguat kuasa tersebut.

Berdasarkan rakaman video itu, wanita berkenaan berang apabila keretanya dikunci oleh pihak berkuasa selepas meletakkannya di bukan tempat meletak kenderaan untuk membeli makanan di restoran berdekatan.

Wanita itu yang menjerit-jerit memarahi penguat kuasa berkenaan menjadikan alasan membelikan makanan untuk membantu seorang orang kelainan upaya (OKU).

“Saya beli makanan untuk OKU salah ke? Beritahu saya salah ke?” jerit wanita itu.

Bagaimanapun, penguat kuasa berkenaan dengan tenang menjawab tidak salah membeli makanan untuk OKU, tetapi salah meletak kenderaan di tempat itu.

“Tidak salah awak beli makanan, tetapi awak letak kereta salah.

“Saya faham, tetapi awak bukan OKU, untuk meletak kenderaan membuta-tuli macam ini. Kalau awak betul-betul nak tolong OKU, baik awak letak kereta tengah-tengah (jalan),” kata penguatkuasa itu.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd. Zulkurnain Che Ali berkata, kejadian tersebut berlaku pada Rabu lalu apabila wanita terbabit berang tayar keretanya dikunci dengan alasan dia mempunyai pelekat OKU di Bandar Puteri Puchong, dekat sini.

Menurut Mohd. Zulkurnain, suami wanita tersebut meminta agar kejadian itu tidak dilaporkan kepada polis kerana percaya isterinya bertindak sedemikian akibat mengalami tekanan kerana terpaksa menjaganya yang OKU.

“Pada mulanya kita memang tidak mahu membuat sebarang laporan polis atas dasar budi bicara. Bagaimanapun selepas video kejadian itu tular, kita terpaksa buat juga laporan untuk keselamatan penguat kuasa dan juga membersihkan imej MPSJ,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminudin berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan kenderaan wanita berkenaan ditunda oleh penguat kuasa pada hari kejadian.

“Bagaimanapun, suami wanita terbabit hadir ke Depot Tunda MPSJ dan membayar denda sebanyak RM190 serta memohon maaf kerana tindakan isterinya yang kurang sopan terhadap anggota terbabit. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.