Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, racun-racun berjadual yang dikesan di dalam produk-produk berkenaan adalah merkuri, hydroquinone dan tretinoin yang merupakan produk farmaseutikal yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

Katanya, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, malah kulit menjadi hipersensitif.

“Kesan daripada penggunaan hydroquinone boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang merupakan perlindungan kulit daripada pancaran sinar lembayung ungu (UV) yang bahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, produk kosmetik yang dicampur palsu dengan merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana merkuri yang terkandung dalam produk kosmetik boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf serta boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

“Selain itu, kesan mudarat akibat pendedahan kepada merkuri boleh juga dialami oleh orang sekeliling terutamanya kanak-kanak apabila produk kosmetik yang mengandungi merkuri yang disapu pada kulit meruap dan dihidu.

“Bayi dan kanak-kanak kecil boleh terdedah kepada merkuri apabila mereka menyentuh produk kosmetik yang mengandungi merkuri atau orang yang menggunakan produk kosmetik tersebut dan kemudiannya memasukkan jari-jari mereka ke dalam mulut. Penggunaan produk yang mengandungi merkuri boleh juga menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” ujarnya.

Beliau memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk-produk kosmetik tersebut untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik itu dengan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Tambahnya, sebarang pertanyaan berkaitan produk kosmetik boleh di emel kepada [email protected] atau menghubungi talian 03-78835400. Pengguna dan orang ramai adalah dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA http://npra.moh.gov.my/. - UTUSAN ONLINE