Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, ini kerana pengalaman daripada kemelut pelantikan Peguam Negara sebelum ini perlu dijadikan iktibar untuk memperkemaskan lagi pentadbiran institusi diraja.

“Badan Penasihat ini menyamai Privy Council yang dianggotai oleh negarawan yang dihormati masyarakat.

“Mereka ini daripada pelbagai latar belakang berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam apa jua urusan pentadbiran negara termasuk juga menegur dan memberikan pandangan bagi menjadikan institusi diraja ini lebih berkredibiliti,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, badan seranta pula berperanan mengendalikan segala urusan perhubungan awam berkaitan institusi diraja

“Ia agar rakyat lebih memahami mengenai peranan dan segala tindak-tanduk yang melibatkan Institusi ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MPM juga memandang serius sikap anggota masyarakat awam yang terlalu ingin mengenakan desakan kuat terhadap proses pengurusan negara,

pelantikan pegawai utama negara serta perubahan pentadbiran secara tergesa-gesa melalui media sosial.

“Tindakan ini sering melahirkan kekeliruan dan salah tanggap yang bersifat kurang adab dan berlebih-lebihan terutama Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Ketua Pentadbir negara serta para pegawainya.

“Justeru amatlah wajar sikap kurang adab itu dipertimbangkan semula dengan kesabaran kerana sebarang amalan kenegaraan amat perlu keprihatinan serta hemah tertinggi dan mengikut lunas-lunas peruntukan serta prosedur perundangan dan adab pemerintahan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, MPM juga mendesak agar Peguam Negara, Tommy Thomas melaksanakan tugas serta kewajipan beliau dengan penuh saksama dan berhemah tinggi.

“Kami juga ingin memperingatkan kerajaan agar memperhalusi iktibar daripada hal yang telah terjadi dalam pelantikan Peguam Negara dan seterusnya mengambil langkah yang lebih cermat dalam menghadapi isu pelantikan pegawai utama kerajaan terutama pelantikan Ketua Hakim Negara yang kini sudah mula dibangkitkan di media massa,” katanya. - UTUSAN ONLINE