Acara yang berlangsung selama tiga hari pada 15 September lalu itu menerapkan elemen ke­seronokan, gaya hidup dan muzik dengan menghimpunkan peminat kereta dari seluruh negara untuk berkongsi minat yang sama.

Pameran automotif anjuran FitzGerald Events kali ini menggegarkan Kuala Lumpur selepas siri jelajah Pulau Pinang dan Johor dengan menampilkan lebih 200 kenderaan berjenama tempatan dan luar negara dari model tahun 60-an termasuk supercar.

Pengasas dan penganjur program, Jason Tan berkata, program yang bertujuan mengangkat industri automotif itu berjaya menghimpunkan lebih 70 kelab pemotoran dari seluruh negara dan dari Thailand yang melibatkan seramai 600 ahli.

“Setiap ahli kelab hadir mempamerkan kenderaan masing-masing yang diubah suai pada bahagian luaran dan dalaman dengan gaya dan reka bentuk menarik untuk tatapan pengunjung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, selain pameran kereta yang memukau pengunjung, program turut diisi dengan pelbagai aktiviti lain antaranya pertandingan gymkhana dan audio kenderaan serta cabaran drift.

“Salah satu acara utama VMS 2018 adalah pertunjukan trak raksasa bigfoot yang didatangkan khas dari Thailand. Kenderaan ini dihasilkan menerusi modifikasi trak pikap menggunakan suspensi dan tayar lebih besar,” katanya.

Selain itu katanya, VMS 2018 juga menyaksikan acara Car Club Battle yang diadili oleh panel hakim dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura untuk menentukan kelab terbaik yang layak membawa pulang hadiah bernilai RM3,000.

“Cabaran drift yang dihakimi oleh Loyai “War Head” Hanizam dan Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley selaku Duta VMS 2018 adalah acara yang paling menarik perhatian pengunjung,” katanya.

Ditanya mengenai kelainan penganjuran yang ditampilkan pada tahun ini, Jason berkata, ia berbeza apabila melibatkan pen­yertaan daripada peniaga aksesori dan alat ganti kenderaan selain penjual kenderaan yang menawarkan model lama dan baharu.

“Inilah objektif dan sasaran yang kami inginkan apabila menghimpunkan semua pemain industri automotif bagi tujuan bertukar maklumat, berkongsi kepakaran serta mengembangkan bidang perniagaan masing-masing,” katanya.

Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dikunjungi klira-kira 20,000 pengunjung termasuk pelancong asing.