Justeru tidak salah jika dikatakan aktiviti berkenaan kurang mendapat sambutan dari ge­nerasi muda sedangkan mengoca merupakan hari yang ditunggu-tunggu penduduk kampung satu ketika dahulu.

Bagi masyarakat di Jelebu, me­ngoca merupakan aktiviti yang sentiasa dinantikan kerana ke­seronokan menangkap ikan beramai-ramai jarang berlaku kecuali pada hari berkenaan.

Aktiviti mengoca ini biasanya dilakukan selepas musim me­nuai padi dan tertumpu di kawasan sungai, tali air atau kolam berhampiran.

Dahulunya, keutamaan akti­viti ini bukanlah pada hasil yang diperoleh tetapi keseronokan mencari ikan dan bermain air secara ‘berjemaah’ setelah seha­rian membanting tulang di sawah.

Bagi mengimbau nostalgia itu, satu keramaian diadakan di Kampung Gagu, dekat sini baru-baru ini untuk memberi gambaran sebenar kepada generasi baru terhadap aktiviti yang dilakukan ketika dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­majuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Mohd. Saad Harun, 63, berkata, Pesta Menuai dan Mengoca anjuran Yayasan Budi dengan kerjasama masyarakat setempat itu bertujuan menghidupkan kembali aktiviti berkenaan.

Pesta yang diadakan itu turut disertai kira-kira 300 penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat untuk bersama-sama merasai ke­seronokan pesta berkenaan.

“Penduduk kampung ini ma­sih mengamalkan tradisi me­ngoca biarpun kita berada pada zaman serba moden dan ternyata, usaha penganjuran pesta ini mencapai matlamatnya apabila pengunjung yang turut serta dapat merasai sendiri pengalamannya,” ujar beliau.

Katanya, kesemua peserta yang mengikuti pesta ini menzahirkan perasaan teruja dan jika tidak dikembalikan usaha sebegini mungkin tradisi ini dilupakan oleh generasi muda akan datang.

“Bukan sahaja penduduk kam­pung yang hadir malah pe­ngunjung dan pelajar dari universiti luar turut hadir merasai sendiri aktiviti mengoca di dalam kolam yang mempunyai pelbagai jenis ikan air tawar antaranya lampam dan jelawat,” katanya.

Mohd. Saad berkata, selain dari aktiviti mengoca turut diadakan acara mengemping padi dan memanah.

Pastinya program itu sekali gus mengembalikan nostalgia yang semakin jarang dapat dilihat dan sudah tentunya meninggalkan pengalaman yang manis buat peserta.

Seorang peserta, Sebghatullah Qazi Zada, 26, berkata, pesta itu sangat menyeronokkan dan unik.

“Ini pertama kali saya melihat pesta sebegini. Memang seronok dapat merasai sendiri aktiviti tradisional masyarakat Melayu di Kampung Gagu,” katanya yang berasal dari Afghanistan.

Dia yang merupakan pe­lajar dari Universiti Islam Antaraba­ngsa (UIA) itu berkata, pe­ngalaman se­harian di kampung itu amat berharga buat­nya.

Sementara itu, Pe­ngerusi Ya­yasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, masyarakat Me­layu perlu menilai, meneliti serta menghayati se­mula cara-cara kehidupan yang diamalkan di kampung dalam konteks sebenar.

“Maka sebab itu diadakan pesta untuk mengoca ikan, membuat emping dan kenduri di kampung ini,” katanya.

Jelasnya, pesta ter­sebut dapat mewujudkan perasaan kekitaan dan me­mulihara wa­ri­san.