Biasanya, hidangan popular itu akan dimasak secara gotong-royong di masjid atau surau sete­rusnya diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Masjid Ibn Khaldun, Sungai Besi di sini antara masjid yang telah memulakan tradisi memasak bubur lambuk sejak 15 tahun lalu.

Difahamkan, ‘rempah ratus lima beradik’ dan resipi turun temurun yang digunakan untuk memasak bubur ber­kenaan menjadi faktor bubur lambuk di situ menjadi sebutan.

Ketua tukang masak Mohd. Nosri Ahmad, 53, berkata, ke­istimewaan bubur lam­buk di masjid ber­kenaan adalah gabungan rempah ratus lima beradik yang digunakan sejak 15 tahun lalu dan tidak pernah berubah.

Menurutnya, selain kayu ma­nis dan bunga cengkih, turut di­gunakan dalam masakan bagi membangkitkan rasa tersendiri adalah bunga lawang, buah pelaga, herba jintan manis dan jintan putih.

“Pemilihan bahan-bahan mentah yang segar menjadi faktor utama keenakan kepada bubur lambuk yang disediakan termasuk penggunaan isi daging dan ayam.

“Untuk menambah aroma selain daun pandan, turut ditamb ah bawang go­reng dan daun sup,” katanya ketika ditemui Utu­san Malaysia pada program me­masak dan pengagihan bubur lambuk kepada kariah dan penduduk setempat baru-baru ini.

Mohd. Nosri berkata, seawal pukul 8 pagi, beliau bersama lima pembantu termasuk beberapa ahli jawatankuasa masjid akan menyiapkan bahan-bahan memasak bubur lambuk.

Sepanjang bulan Ramadan, pihak masjid akan menyediakan sebanyak lima periuk bubur lambuk setiap hari.

“Bubur lambuk yang di­masak akan siap kira-kira pukul 2 petang se­terusnya proses mem­bungkus dan penga­gihan di­lakukan.

“Kira-kira 1,500 bungkus bu­bur lambuk diagihkan kepada ahli kariah dan orang ramai setiap hari bermula hari pertama Ra­madan hingga 25 Ramadan,” katanya.

Tambahnya, ramuan bubur lam­buk masjid itu juga akan di­tambah nilai setiap tahun bagi men­jadikan ia lebih istimewa.