Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan Kuala LUmpur, Mohd. Zahir Shari berkata, masalah ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir penduduk yang tidak memikirkan aspek kebersihan terhadap orang awam dan persekitaran.

“Sikap negatif ini yang menyebabkan pemandangan di sekitar PPR Kerinchi dipenuhi sampah bertaburan di merata tempat.

“Sampah pula hanya dilonggok di luar rumah sampah serta tidak diasingkan mengikut jenis iaitu sisa domestik, kitar semula dan pukal walaupun telah menempatkan tong sampah bersaiz MGB 120 dan 660 liter di situ,” katanya.

Utusan Malaysia semalam mendedahkan laporan masalah pembuangan puntung rokok sesuka hati oleh penduduk di perumahan bertingkat itu dipercayai punca kebakaran di PPR berkenaan.

Tambah Mohd. Zahir, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengatasi masalah itu daripada berterusan.

Katanya, penduduk boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan. - UTUSAN ONLINE