Penasihat PKSB, Ibrahim Alias berkata, projek yang dirancangkan pada 2010 itu didakwa mempunyai unsur manipulasi daripada pemaju Tetuan Ritzy Gloss Sdn. Bhd. melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Sela­ngor (PKNS) dan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB).

Katanya sehingga kini, tiada sebarang surat, dokumen atau perjanjian hitam putih dike­luarkan pemaju kepada penduduk berhubung tawaran pemilikan rumah baharu, status pemindahan, nilai pampasan termasuk pelan pembangunan projek itu.

“Mereka hanya mengadakan pertemuan bersama Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru yang dianggotai seramai 70 orang, menandatangi memorandum persefahaman namun membelakangkan keseluruhan 360 pemilik kediaman.

“Kita tidak mahu penduduk jadi mangsa akibat tindakan yang dibuat tanpa melibatkan perbincangan secara menyeluruh, adil dan teliti dengan mengambil kira kepentingan semua pihak khususnya soal masa depan orang Melayu di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ibrahim berkata, pemba­ngu­­nan itu dikhuatiri akan menghapuskan sedikit demi sedikit wa­risan, tanah, harta pusaka dan sejarah pe­nempatan masyarakat Melayu di Kampung Baru.

“Mereka akan jual rumah lebih daripada RM500,000, orang Me­layu tidak mampu membelinya. Jadi yang kita kata nak pertahankan Kampung Baru ini untuk orang Melayu sudah tidak ada.

“Ini nilai sentimental yang perlu dirasai semua pihak kerana Kampung Baru satu-satunya pe­nempatan masyarakat Melayu yang harus dipelihara dan dibanggakan selain mempunyai nilai pasaran yang terlalu tinggi,” katanya.

Menurut Ibrahim, pemaju memaklumkan bahawa projek berke­naan akan dilaksanakan se­kiranya mereka mendapat sasaran 70 peratus persetujuan pemilik kediaman namun sehingga kini hanya 45 peratus berbuat demikian.

“Tetapi difahamkan hanya 14 orang menandatangi perjanjian itu dan kini mereka dipindahkan sementara di Kerinchi. Penduduk yang bersetuju akan me­nerima jumlah wang pemin­dahan RM15,000 dibayar tiga kali mengikut peringkat iaitu semasa menandatangani perjanjian, pemindahan keluar dan pemindahan masuk sebaik kediaman baharu siap.

“Apa yang dibimbangkan adalah sekiranya projek itu terbengkalai atau bermasalah, sedangkan kita telah beri kebenaran mutlak pada mereka mencagar harta kepada mana-mana institusi kewangan,” katanya.

Sebanyak sembilan blok pangsapuri PKNS empat tingkat me­nempatkan 264 unit bersaiz 603, 571 dan 441 kaki persegi manakala 96 unit rumah teres (1,555 kaki persegi) akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek berkenaan.

Projek di tapak berkeluasan 5.33 hektar dilaksanakan memandangkan ke­semua unit ke­diam­an itu adalah hak milik PKNS di bawah status pajakan 99 tahun.

Difahamkan, cadangan projek membangunkan dua blok kondominium itu akan turut melibatkan kawasan dua blok pangsapuri PKNS 17 tingkat berdekatan Legasi Residen.