Tinjauan Mingguan Malaysia di Bukit Ampang mendapati, mereka berulang-alik untuk mengambil sumber mata air bukit ber­kenaan setiap hari, selain bergantung kepada lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).

Seorang pekerja restoran, Abu Bakar Halim, 32, berkata, dia perlu mengambil bekalan air yang banyak kerana ramai pengunjung datang ke restoran lebih-lebih lagi pada hujung minggu.

Jelasnya, dia dan rakannya terpaksa berulang-alik sebanyak tiga kali sehari membawa sebanyak 35 buah tong air dengan menaiki van ke kawasan bukit berkenaan.

“Sehingga ke hari ini, bekalan air masih belum pulih sepenuhnya dan tekanan air amat rendah. Di restoran memerlukan stok air yang banyak untuk memasak, mencuci pinggan serta penyediaan minuman,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rakannya, Saiful Amri Aminudin, 36, pula berkata, mereka mengambil air bukit itu sejak hari pertama krisis air di Lembah Klang.

“Selain Bukit Ampang, kami turut mencari tempat lain se­perti Bukit Belacan, malang­nya ditutup untuk projek pembinaan. Sumber air bukit ini bersih dan jernih, selain kawasan ini menjadi tumpuan ramai untuk mengambil air,” katanya.

Seorang pekerja hotel, Harun Zakaria, 47, memberitahu, krisis air yang berlarutan sehingga seminggu amat menyeksakan.

“Kalau tiga hari kami tidak kisah, tetapi ini sudah dekat seminggu. Saya tinggal di rumah kedai di tingkat tiga, lori bantuan Syabas pula datang tidak tentu masa,” katanya.

Sementara itu tinjauan di Kampung Kemensah, Hulu Kelang di sini mendapati pengunjung turut mengambil ke­sempatan mandi-manda dan mencuci pakaian di sungai.

Seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 45, berkata, walaupun air sungai kurang bersih, namun dia tiada pilihan kerana ketia­daan bekalan di rumah­nya.

“Sejak beberapa hari lalu, sungai menjadi tumpuan ramai untuk membasuh pakai­an dan mandi-manda. Bukan tidak mahu hantar dobi, kebanyakan premis tutup di­sebabkan krisis air,” adunya.