Timbul persoalan, mengapa restoran mamak masih beroperasi seperti biasa, seolah-olah tidak menghormati Ramadan? Wartawan Skuad Terjah meninjau beberapa buah restoran mamak 24 jam dan memanjangkan kepada pihak berwajib.

KUALA LUMPUR 8 JUN  -  BENARKAH restoran mamak yang beroperasi 24 jam diusahakan pemilik yang betul-betul ber­agama Islam?

Jika benar, mengapa mereka di­beri kelebihan itu sedangkan peniaga Melayu lain hanya dihadkan perniagaan bermula selepas pukul 3 petang sahaja?

Tinjauan Skuad Terjah ming­gu ini mendapati, rata-rata kedai mamak di sekitar ibu negara masih beroperasi seperti biasa sehingga tidak menghormati bulan Ramadan dan langsung tidak menghiraukan sensitiviti ma­sya­rakat Islam lain.

Adakah mereka mempunyai ke­kebalan tersendiri sehingga men­dapat keistimewaan sedemi­kian yang pada akhirnya jelas memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam khususnya.

Ketika ditanya sesetengah pe­ngusaha kedai terbabit, mereka hanya menyasarkan pelanggan bukan Islam sahaja dalam tempoh berpuasa.

Malangnya, berdasarkan pemerhatian, mereka terus membenarkan pelanggan beragama Islam membeli makanan seawal pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Sekiranya itu dikatakan ke­lebihan kepada semua pengusaha kedai makan itu, adakah tiada se­barang syarat yang ditetapkan pihak berwajib?

Salah seorang pengguna, Mohd. Izzat Syamil Azahar, 28, menyifatkan pengoperasian kedai makan tersebut jelas membuka ruang kepada individu yang cuba mencemarkan kesucian bulan Ramadan.

“Sekiranya tiada halangan un­tuk sesiapa pun membeli makanan pada waktu tertentu yang boleh menimbulkan rasa syak terutama pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, perkara itu perlu diambil tindakan tegas.

“Sekiranya tidak, mereka akan lebih berani untuk menjual kepada sesiapa pun demi mendapat keuntungan semata-mata tan­pa rasa hormat bulan Ramadan andainya mereka didakwa kononnya Islam,” katanya.