Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa lokasi di ibu kota mendapati penyalahgunaan kemudahan itu semakin berleluasa dan langsung tidak menghiraukan kesukaran OKU dengan masalah penglihatan.

Sekitar Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pasar Seni sebagai contoh, terdapat lebih tiga gerai jualan giat beroperasi dan menghalang laluan itu.

Berbeza dengan situasi di Stesen LRT Bandaraya apabila kelihatan ada beberapa motosikal menghalang laluan pejalan kaki OKU walhal parkir khas untuk kenderaan itu telah disediakan di kawasan tewrsebut.

Situasi sebegini bukan hanya berlaku di dua stesen LRT ini sahaja, bahkan turut dapat dilihat di stesen-stesen pengangkutan awam lain di sekitar Lembah Klang.

Tahap kesedaran yang rendah sebegini sepatutnya tidak berlaku kerana fungsi kemudahan tersebut adalah antara pengetahuan umum semua warga kota.

Pihak berkaitan juga perlu mengambil tindakan proaktif bagi mengekang hal sebegini daripada terus berlaku memandangkan Kuala Lumpur dalam misi ke arah bandar raya bertaraf dunia tidak lama lagi.

Naik taraf prasarana dan kecanggihan teknologi seolah tidak membawa erti jika sikap dan mentaliti rakyat sesebuah negara tidak mengalami anjakan ke arah lebih baik.