Prosedur operasi standard (SOP) baik pulih jalan rosak yang perlu dipatuhi bukan lagi jadi keutamaan, sebaliknya sekadar melepas batuk di tangga sahaja. 

Skuad Terjah minggu ini meninjau beberapa jalan di kawasan pentadbiran PBT Selangor yang didakwa tidak dilaksanakan secara profesional termasuk menggunakan tenaga kerja yang tidak berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan.

KUALA LUMPUR 18 MEI -  KUALITI jalan raya di Selangor didapati semakin teruk. 

Sepanjang tempoh lebih dua tahun isu jalan rosak dimainkan akhbar Utusan Malaysia, Skuad Terjah mendapati pihak berkuasa tempatan (PBT) di ne­geri itu masih gagal memastikan jalan raya yang merupakan salah satu infrastruktur untuk rakyat benar-benar dinikmati dengan selesa dan selamat.

Bukan sahaja berdasarkan tinjauan, aduan daripada orang ramai yang diterima mendapati masalah jalan berlubang, tidak ra­ta dan kualiti turapan tidak sem­purna terus berlaku.

Kontraktor dilantik didapati tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih de­ngan sempurna apabila jalan yang sebelum ini diturap, rosak semula.

Sebagai contoh jalan raya sekitar Jalan Suakasih dan Jalan Cheras Perdana.

Jalan di bawah seliaan Majlis Perbandaran Kajang itu didapati rosak semula selepas dua minggu kerja-kerja turapan dilaksanakan kontraktor yang dilantik.

Pengasas Ikatan Silaturrahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, kegagalan segelintir PBT di Selangor memilih kakitangan mahupun kontraktor berpengalaman menjalankan kerja-kerja ba­ik pulih menjadi faktor utama kepada kualiti jalan raya di Selangor semakin teruk.

Beliau mendakwa terdapat ‘orang dalam’ kakitangan jabatan berkaitan dan pihak kontraktor tidak mempunyai sebarang kepakaran dan pengetahuan men­jalankan kerja-kerja turapan jalan.

“Seorang kakitangan di sebuah jabatan dalam sebuah PBT di Selangor mengaku tidak diajar atau tidak diberi penerangan tentang kerja-kerja menurap jalan dengan betul.

“Sebaliknya mereka diarahkan menjalankan kerja-kerja turapan selepas dibekalkan peralatan se­perti jentera turapan dan tar jenis premix dari kuari,” katanya kepada Skuad Terjah di sini.

Azlan Sani atau dikenali Lando turut berkata, beliau tidak membuat tuduhan semata-mata sebaliknya mempunyai bukti lengkap termasuk rakaman video suara dan gambar.

Menurutnya, terdapat juga situasi yang mana kerja-kerja turapan jalan diserahkan kepada pihak ketiga walaupun syarikat kontraktor utama memenangi tender berkenaan.

“Betul syarikat itu menang tender, tetapi akhirnya kerja-kerja menurap jalan dilakukan pekerja warga asing yang tiada kelayakan dan pen­getahuan secara teknikal .

“Sebab itu saya fikir kualiti jalan raya di Selangor dan negeri-negeri lain semakin lama semakin teruk,” katanya.