Ini termasuk mengunjungi Pameran Dinosaurs Alive @ Kuala Lumpur 2017 bagi tujuan mendapatkan hiburan dan keseronokan selain meningkatkan pengetahuan mengenai kewujudan haiwan prasejarah tersebut.

Seorang ibu, Norlizan Shaikh Husin, 43, berkata, pameran tersebut pastinya memberikan sesuatu kelainan dan bermakna buat dirinya sekeluarga.

Ini kerana mereka dapat merakamkan segala kenangan indah dan mengenali dengan lebih dekat haiwan yang jarang-jarang sekali dipamerkan di negara ini.

“Pameran ini seolah-olah membawa kita berada di zaman sebenar dinosaur. Anak-anak saya berasa begitu teruja apabila melihat haiwan tersebut bergerak dengan mata berkelip-kelip dan menghasilkan bunyinya yang tersendiri.

“Selain itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti mewarna, mencari telur dinosaur dan taman permainan menambahkan lagi keseronokan untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, disebabkan kepuasan itu masih belum lagi dirasakan sepenuhnya, dia sekeluarga berharap supaya dapat mengunjungi lagi pada musim cuti sekolah nanti.

Pameran bertaraf antarabangsa yang pertama kali dibawa ke Asia itu berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, di sini bermula 14 Julai lalu hingga hujung tahun ini. - UTUSAN ONLINE